Dec 07, 2025 - FASSelangor FC akan berdepan Penang FC bagi perlawanan Liga Super ke-11 musim 2025/26 hari ini di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada jam 9 malam
Ini merupakan pertemuan ke-131 di antara #PENSFC. Gergasi Merah telah memenangi 78 perlawanan dan 21 seri. Selain itu, 274 jaringan gol telah terhasil daripada pertemuan dua pasukan ini.
Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Christophe Gamel, beliau mahu pasukan fokus untuk dapatkan kemenangan bagi memperbaiki kedudukan.
“Penang FC mempunyai kualiti terutamanya di bahagian serangan apabila mereka mula mendapat rentak permainan. Walau bagaimanapun, fokus pasukan tertumpu kepada mempamerkan aksi yang terbaik dan berusaha untuk mendapatkan kemenangan pada malam ini,” jelas Gamel.
“Walaupun musim masih panjang tetapi dengan keputusan setakat ini, penting untuk pasukan mendapatkan tiga mata dalam perlawanan #PENSFC ini. Kita perlu berada di landasan yang betul dan mencapai kedudukan yang terbaik dari masa ke semasa,” tambahnya lagi.
Dari segi keberadaan pemain, Sharul Nazeem tidak dapat bersama pasukan akibat kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL). Manakala, Zikri Khalili masih berada pada fasa akhir pemulihan sebelum kembali bersama rakan sepasukan. Dua pemain digantung dan tidak dapat bersama pasukan pada malam ini; Fazly Mazlan (tiga kad kuning) dan Mamadou Diarra (kad merah). Selain mereka, barisan pemain Gergasi Merah yang lain bersedia untuk memberikan saingan kepada The Black Panthers dan mendapatkan kemenangan untuk para penyokong.
Pihak pengurusan Selangor FC percaya pasukan akan berusaha keras untuk membawa pulang tiga mata pada malam ini. Ayuh, Gergasi Merah!
Demi Kebanggaan!